Khamis, 5 Jun 2008

GERAI DIRANAP JENTOLAK DBKL

Rata-ratanya cukup simpati kepada nasib penjaja yang terbabit ini. Sokongan anda semua amat bermakna untuk mereka mengharungi perit dan getir ketika ini sementara mencari jalan bagaimana untuk meneruskan sesuap nasi.

Sayalah antara warga Wangsa Maju yang melihat mereka membina gerai bermula pertengahan tahun 1990 hinggaplah ranap dan rebah ke bumi oleh si jentola DBKL yang tidak berhati perut. Tidak keterlaluan dikatakan sudah beratus-ratus peniaga bersilih ganti mencari rzeki di tapak-tapak penjaja ini sepanjang 18 tahun ini.

Selama ini aman dan sejahtera. Perniagaan penjaja-penjaja ini tidak banyak diganggu DBKL, cuma sesekali bila melancarkan operasi lewat petang dengan merampas meja dan kerusi milik penjaja yang terletak di tepi jalan. Ketika itu penjualan VCD cetak rompak cukup berleluasa di Desa Setapak, sebab itulah DBKL bertindak ke atas penjaja ini sambil bertindak ke atas penjualan VCD cetak rompak. Itu berlaku kira-kira 5-10tahun yang lampau.

Tidak dinafikan negara kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi. Memang diakui para penjaja ini telah menerima surat amaran untuk dipindah namun mereka enggan. Sebenarnya mereka memiliki lesen perniagaan cuma tidak dibenarkan berniaga di tapak situ kerana ia adalah kawasan kerajaan. Mereka juga sudah banyak kali merayu dan memohon agar dapat terus berniaga di situ, namun ditolak oleh DBKL.

Apabila DBKl bertindak merobohkan gerai-gerai yang dikatakan haram itu, maka timbullah keraguan dan persoalan. Bagaimana pula dengan gerai-gerai haram lain yang berhampiran di situ? Kenapa tidak dirobohkan sekali? Apakah ada berkaitan dengan soal kaum dan politik? Saya rasa kita perlu meminta YB untuk mendapatkan penjelasan dan gambar sebenar daripada DBKL dan memberitahu kepada kita semua di dalam blog ini. Jika tidak, semua akan maki-hamun dan menyalak seperti anjing tidak sebab munasabah.

Jika DBKL ingin bertindak merobohkan semua gerai haram, bertindaklah segera ke atas semua gerai-gerai haram bukan sahaja di Wangsa Maju, malahan di kawasan-kawasan sekitarnya seperti di Setiawangsa, Danau Kota,Jalan Genting Kelang dan kawasan-kawasan lain di sekiar Kuala Lumpur.

Tindakan DBKL ke atas penjaja di Desa Setapak jelas memperlihatkan ketidakadilan dan bertindak di luar batas kemanusiaan.

Saya amat setuju tindakan YB untuk mengheret pegawai yang bongkah itu ke muka pengadilan. Harap dia menerima hukuman setimpal, jika tidak dipenjarakan, sekurang-kurangnya digantung kerja atau dibuang terus daripada terus menzalimi warga Kuala Lumpur yang lain pula.

Nasi telah menjadi bubuh. Gerai-gerai yang menjual makanan yang sedap lagi murah itu kini hanya tinggal sejarah. Sekarang apa yang lebih penting ialah bagaiamana membantu penjaja-penjaja yang terlibat ini meneruskan hidup.

DBKL sekiranya mahu terus melindungi kepentingan warganya, kini mereka perlulah mencarikan satu tapak perniagaan yang sesuai sebagai ganti kepada mereka.

Insiden ini bukan sahaja menjejaskan rezeki penjaja, malahan ribuan penghuni di sekitarnya termasuk warga kerja dan pelajar. Tiada lagi banyak pilihan yang diberikan kepada mereka kecuali mengunjungi kedai-kedai makan yang sedia ada dan gerai-gerai haram yang masih diberi peluang berniaga dengan megah di situ. (Tak payahlah sebut nama gerai-gerai ini, semua orang sudah maklum.)

Daripada insiden ini juga warga Wangsa Maju telah mulai sedari bahawa DBKL memang bertindak zalim, tidak adil, dan sebarang kata putusnya dilakukan oleh pegawai-pegawai yang bongkah serta mempunyai kepentingan peribadi.

Warga Wangsa Maju sememangnya mengharapkan YB mampu menentang kezaliman dan kemungkaran dalam DBKL ini dengan bijak. Warga Wangsa Maju tetap beri sepenuh kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada YB.

Kita semua cukup kesal dan sedih dengan insiden yang disifatkan terbesar di Desa Setapak selepas operasi besar-besaran VCD cetak rompak lima tahun lalu.

Melalui insiden ini juga imej DBKL telah bercalar lagi yang sebelum ini memang tidak pernah memberikan gambaran baik kepada warga Kuala Lumpur.

Dan apa yang paling malang lagi ialah ia telah menimbulkan isu perkauman gara-gara ketidakcekapan DBKL dalam merobohkan gerai-gerai haram ini. Apakah DBKL sebagai sebuah pihak berkuasa temaptan (PBT) dan penguatkuasaan mahu mencetuskan ketegangan hubungan kaum? Apakah tidak ada jalan lain untuk menyelesaikannya?

Sementara hentaman dan kritikan daripada kalangan ahli-ahli BN sudah tentu akan terus dilancarkan kerana bijak mengambil kesempatan dan peluang untuk mengeruhkan suasana. Namun sebarang kata-kata biarlah membina dan menjurus kepada jalan penyelesaian dan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak.

Akhirnya, saya dapat membuat kesimpulan di sini bahawa insiden ini telah benar-benar menyakitkan hati ramai warga Wangsa Maju lebih-lebih lagi ia bertindak ke atas SATU KAUM sahaja. Ia nampaknya dilakukan secara sengaja dan seakan-akan juga ada sifat balas dendam. Atasilah isu ini atas sifat kemanusiaan dan bukan atas PERKAUMAN!

Kita hendak beritahu kepada DBKL bahawa Warga Wangsa Maju selama ini cukup harmoni dan bersatu padu tanpa mengira kaum.Janganlah kerana perbuatan kamu semua yang terlampau, hubungan kaum akhirnya tergadai.